Tularan.com
tularan com ayah pin kerajaan langit runtuh

Akhirnya Kerajaan Langit Menyembah Bumi

Ariffin Mohamad (22 Jun 1941–22 April 2016) atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin merupakan seorang pengamal ajaran sesat Malaysia. Beliau ialah pengasas kepada Kerajaan Langit dan disenaraikan dalam kumpulan agama sesat.

Dilahirkan di Beris, Kelantan, Ayah Pin telah menyifatkan dirinya sebagai “Tuhan” kepada semua agama dan mendakwa telah menerima wahyu dari langit untuk mengembangkan ajarannya di muka bumi. Beliau hanya bersekolah sehingga darjah 2, namun beliau dianggap oleh kebanyakan pengikutnya sebagai Tuhan dan segala yang dilakukannya berasaskan wahyu yang diterimanya dari langit. Ayah Pin dilayan seperti raja dan segala kelengkapannya disediakan seolah-olah seperti di kayangan.

Pada Disember 1997, Jabatan Agama Islam Terengganu mengisytiharkan ajaran Ayah Pin palsu, sesat dan menyeleweng. Beliau pernah dihukum penjara selama 11 bulan dalam tahun 2001. Pada 2002, selepas tamat hukuman penjara, Ayah Pin dan pengikutnya mula memperluaskan Kerajaan Langit. Ayah Pin berkahwin sebanyak 4 kali, mempunyai 4 isteri (isteri pertama meninggal dunia pada 2012) dan dikurniakan 21 anak hasil dari perkahwinan tersebut. Beliau meninggal dunia pada 22 April 2016 pada usia 74 tahun akibat sakit tua.

Asal Usul
Ajaran sesat ini berkampung di Kampung Batu 13, Hulu Besut Terengganu. Ayah Pin menyifatkan dirinya sebagai wakil “Tuhan” segala agama. Manakala pengikut-pengikutnya pula menganggap Ayah Pin sebagai Tuhan yang menerima wahyu dari langit dan segala yang dibuatnya adalah berasaskan wahyu tersebut.

Kejayaan dan Pengaruh
Dengan kehebatan Ayah Pin memimpin ajaran sesat Kerajaan Langit itu, ramai orang-orang tempatan malah luar negara dari pelbagai ugama mempercayai dan mengagungkan Ayah Pin bak setinggi langit. Ayah Pin berjaya memperalatkan dan mempengaruhi pelbagai lapisan masyarakat, agama dan status penduduk di negara ini untuk menyertai ajaran yang disebarkannya. Ini termasuklah beberapa orang artis tempatan.

Pembentukan Kerajaan Langit
Jika hendak diikutkan, Ayah Pin bukannya orang cerdik pandai, malah dia buta huruf dan tidak tahu membaca. Dengan pengikut-pengikutnya itu juga, Ayah Pin membangunkan kawasan Kerajaan Langit dengan teko, pasu dan beberapa lagi replika besar untuk melambangkan kuasa Tuhan yang diamanahkan kepada dirinya untuk melindungi dan memayungi umat manusia.
Sehingga hari ini menjadi misteri bagaimana pengikut-pengikutnya (agak ramai yang cerdik pandai) boleh terpengaruh dan terpedaya dengan dongeng Ayah Pin yang buta huruf tidak berpendidikan itu.

tularan com ayah pin kerajaan langit

Juga masih kekal misteri bagaimana pengikutnya boleh percaya teko gergasi yang dibina itu adalah sebagai kenderaan untuk naik ke langit, bila tiba masanya.

Kejatuhan
Selepas hampir 10 tahun giat dengan ajarannya di Malaysia, akhirnya ajaran yang memesongkan orang ramai itu telah dihidu oleh pihak berkuasa dan agama tempatan. Dan akhirnya pengikut-pengikut Ayah Pin pula ditahan dan disoal siasat serta didakwa di mahkamah. Kawasan Kerajaan Langit juga telah dimusnahkan. Ayah Pin pula menyatakan dia tidak boleh dianggap sesat kerana dia sudah mengistihar keluar dari memeluk Islam semenjak 1998 lagi.

ayah pin

Menghilangkan Diri
Ayah Pin telah menghilangkan diri ketika pihak berkuasa membuat serbuan, beliau bersama-sama empat isterinya telah melarikan diri daripada perkampungan tersebut. Paling menghairankan sehingga ke hari ini, jejak Ayah Pin belum ditemui tetapi dikatakan melarikan diri ke selatan Thailand. Ada yang mengatakan Ayah Pin ghaib bersama isteri-isterinya. Ada pula yang berpendapat, ada pihak termasuk pengikut-pengikut ekstremnya cuba menyembunyikan Ayah Pin dari pengetahuan pihak berkuasa.

ayah

Pertikaian Polis dengan JHEAT
Pada 12 November 2008, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kesal kerana JHEAT menyatakan Ayah Pin tidak perlu ditangkap. Musa Hassan menjelaskan pertikaian itu dalam seminar memperkasakan pentadbiran keadilan di mahkamah syariah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak. Padahal Ayah Pin didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana dikatakan bertindak menghina pihak berkuasa agama di rumahnya di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada 20 Julai 2005. Ayah Pin mengingkari fatwa bahawa ajaran yang diamalkannya sesat dan menyeleweng serta boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta boleh merosakkan akidah. Polis bimbang tanggapan ramai bahawa polis tidak memberi kerjasama dan penyelarasan dengan jabatan agama Islam.

langit 1

Tetapi pada 13 November 2008, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan rasmi kepada pihak polis Terengganu supaya jangan menahan Ayah Pin yang dikesan pulang ke Terengganu, dari Selatan Thailand. Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JHEAT, Mohamad Nor Mohamad menegaskan tiada perbincangan diadakan dengan polis berhubung Ayah Pin. Setakat ini status siasatan JHEAT terhadap Ayah Pin kini masih di peringkat mencari bukti. Walaupun ada cakera padat Ayah Pin tetapi tidak dapat dibuktikan bila ia berlaku dan apakah ciri-ciri ajaran-ajaran tersebut.

Kematian
Pada Jumaat, 22 April 2016, Ayah Pin meninggal dunia di kediaman isteri keempatnya, Nik Kamariah Nik Pah di kawasan penempatan mereka di Kampung Batu 13, Hulu Besut pada jam 8:30 malam pada usia 74 tahun akibat sakit tua. Beliau juga turut menghidap penyakit angin ahmar dan beberapa penyakit lain sejak menghilangkan diri dari ditahan oleh pihak berkuasa pada 2005.

Jenazah beliau dikebumikan di kampung halamannya di kawasan penempatan berkenaan yang turut menempatkan beberapa kawasan kubur lain termasuk kubur isteri pertamanya, Che Minah Ramli yang meninggal dunia pada 2012. Allahyarham meninggalkan tiga balu dan 21 anak hasil perkahwinannya dengan empat isterinya sebelum ini.

Menjadi kemusykilan bagaimana seorang yang telah mengisytiharkan murtad, ditanam di perkuburan Islam.

  1. Kelahiran: Ariffin bin Mohamad, 22 Jun 1941, Beris, Bachok, Kelantan, Malaya British (kini Malaysia)
  2. Meninggal dunia: 22 April 2016 (umur 74), Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut, Terengganu, Malaysia
  3. Sebab kematian: Sakit tua
  4. Terkenal kerana: Sebagai pengasas Kerajaan Langit
  5. Pasangan: Che Minah Ramli (meninggal dunia 2012), Jaharah Awang, Rozilan Mokhtar, Nik Kamariah Nik Pah.

Sumber: Wikipedia dan Internet

Kang Razzi Armansur

Orang yang sudah biasa menulis. Dan bolehlah dikatakan sebagai kerjayanya. Sudah menghasilkan lebih 30 judul buku. Sebahagiannya 'best-seller'. Juga mengajar menulis walaupun merasakan tidak layak untuk mengajar cara-cara menulis. Ia telah dibukukan dengan judul, "Ini Buku Saya!"

SPONSOR