Tularan.com
tularan kecantikan mekap

Alat Solek yang Luput Tarikh, Mungkin Mendatangkan Bahaya

Bukan sahaja makanan mempunyai tarikh luput, malah setiap peralatan solek juga mempunyai tarikh luput yang berbeza.

Ia akan memberi impak yang sama, di mana jika anda makan makanan yang melepasi tarikh luput anda pasti akan keracunan makanan.

Bermakna jika anda menggunakan alat solek yang melepasi tarikh luput, ia turut akan merosakkan kulit anda.

Jadi, mari  kenali alat solek dan berapa lama tempoh yang boleh digunakan.

Menurut The Healthy, bedak asas cecair secara umumnya akan bertahan selama 12 bulan dari waktu bekasnya mula dibuka, manakala maskara dan penggaris mata hanya boleh dipakai dalam tempoh tiga bulan.

Bagi produk bibir pula, jangka hayatnya adalah selama dua tahun, tetapi ia berpotensi untuk rosak dengan lebih cepat jika sering digunakan atau dikongsi penggunaannya.

Bedak padat (compact powder) selalunya bertahan selama kira-kira dua tahun jika disimpan dengan betul, namun lama-kelamaan pigmentasinya juga akan pudar.

Begitu pun, Pengarah Kreatif WarPaint International Beauty Agency, Jessica Mae, berkata dua produk yang perlu dibuang serta-merta apabila mencecah tarikh luput ialah maskara dan bedak asas.

“Setelah dibuka, maskara dan bedak asas akan terdedah pada udara, lalu bakteria boleh masuk ke dalam bekasnya. Lama-kelamaan, lebih banyak bakteria akan membiak dalam produk berkenaan dan menyebabkan risiko jangkitan meningkat,” katanya dipetik media.

Apa akan berlaku jika anda tetap memakai alat solek yang melepasi tarikh luput?

Apabila sesuatu produk itu sudah melepasi tarikh luput, semua molekul dalam produk berkenaan akan berpecah untuk menjadi satu elemen asing.

Penggunaan produk berkenaan boleh merengsakan kulit lalu menyebabkan inflamasi.

Ada kalanya, inflamasi yang berlaku pada kulit boleh melarat dan bertukar menjadi kemerahan, bengkak, ruam atau melecur.

Sumber: FreeMalaysiaToday & Thehealthy.com

Syarifah Atilia

Belajar menulis dengan membaca gaya tulisan penulis terkenal. Kini Penulis Residen Tularan.com. "Siapa kata menulis itu kerja mudah?"

SPONSOR