Tularan.com
22mona3.transformed

Dongeng Mona Fandey

Kehebatan Pasangan Bomoh Pembunuh Hanya Dongeng

Oleh Mohd Azis Ngah
[email protected]

WALAUPUN berlaku 23 tahun lalu, namun kes bunuh membabitkan pasangan bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin, masih dikenang sepanjang zaman dalam senarai teratas kes jenayah sensasi di negara kita.

Mereka membunuh dan memotong kepada 18 kerat badan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Pahang, Allahyarham Datuk Mohd Mazlan Idris, sebelum menanamnya di dalam lubang sedalam 1.8 meter di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pamahdong, pada Julai 1993.

Permukaan lubang itu disimen untuk mengelak kegiatan mereka dikesan namun terbongkar selepas polis menjalankan siasatan ke atas mereka yang membawa kepada penemuan mayat mangsa.

Pada 9 Februari 1995, Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap ketiga-tiga tertuduh kerana didapati bersalah membunuh Mazlan pada jam 10 malam, 2 Julai dan 12 Malam, 8 Julai 1993.

 

21mona.transformed
Gambar fail pada 2 Ogos 1993, orang ramai membanjiri Mahkamah Majistret Raub, Pahang, untuk mendengar kes pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Mohd Mazlan Idris oleh Nor Affendy Abdul Rahman, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan Juraimi Husin. – Foto NSTP

Kes itu menenggelamkan kehangatan kisah pembunuh kejam, perompak dan pengedar dadah paling dikehendaki, Kalimuthu Pakirisamy atau Bentong Kali, yang ditembak mati di Medan Damansara pada tahun 1993.

Begitu juga dengan kisah sensasi penjenayah terkenal pada era sebelumnya iaitu Wong Swee Chin atau Botak Chin yang merompak dan membunuh pada akhir tahun 1970-an sebelum ditangkap dan digantung sampai mati pada 1981.

Walaupun ditangkap dan dipenjarakan, Botak Chin kerap mencetuskan huru hara di penjara dan pernah menyerang beberapa warden dan kakitangan penjara. Kisah tidak tamat begitu saja walaupun sudah merengkok di sebalik tembok batu.

Begitu juga dengan pasangan Affandi dan Mona. Masyarakat seolah-olah sering terpanggil untuk mempercayai pasangan bomoh itu mempunyai ilmu hitam hebat walaupun sudah terkurung dan dikawal rapi.

Ada yang mendakwa Mona Fandey bebas keluar masuk penjara, berhibur dan kembali semula ke Penjara Kajang, begitu juga Affandi yang menjalani hukuman di Penjara Pudu sementara menunggu proses rayuan hukuman.

ezgif 2 7fc39520fbd6 1
Gambar fail Mona Fandey diiringi pegawai penjara di mahkamah ketika pembicaraan kes pembunuhan ADUN Batu Talam, Datuk Mohd Mazlan Idris. – Foto NSTP

Benar atau tidak, tiada siapa yang boleh mengemukakan bukti sahih sedangkan mitos itu seolah-olah menjadi fakta.

Bekas Ketua Pengarah Penjara, Datuk Omar Mohamad Dan, juga tidak terlepas sering diajukan persoalan itu kerana ketika Affandi dan Juraimi menjalani hukuman, beliau adalah Pengarah Penjara Pudu yang kini sudah ditutup sepenuhnya.

“Apabila saya balik bercuti ke kampung, ramai yang selalu bertanya… betul ke Mona dan Affandi ini begitu dan begini. Betul ke mereka bebas keluar masuk penjara guna ilmu hitam. Mereka tanya betul ke Mona keluar minum teh tarik dan menari di luar penjara.

“Pada masa itu, terlalu banyak laporan media yang sensasi. Kata mereka, kalau betul semua itu berlaku, jangan bagi malu kepada kami. Mereka bagi amaran kerana saya adalah Pengarah (Penjara) Pudu, jadi mesti buat sesuatu,” katanya memulakan bicara.

ezgif 2 7e2a1ba1ae27
BEKAS Ketua Pengarah Penjara, Datuk Omar Mohamad Dan. – Foto Rohanis Shukri

Omar mengakui, masyarakat sangat tertarik dengan kisah pasangan bomoh itu sehinggakan perkara yang tidak sahih atau khabar angin pun akan menjadi sebutan dan perbualan hangat.

ezgif 2 edc790f403f6
Gambar fail 22 Julai 1993, pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur menunjukkan kepala ADUN Batu Talam, Datuk Mohd Mazlan Idris, kepada Menteri Besar Pahang ketika itu Tun Mohd Khalil Yaakob (tengah). -Foto NSTP

“Saya berkhidmat selama 30 tahun sebagai pegawai penjara. Semua cerita dongeng itu tidak betul. Sekali mereka (pesalah) masuk penjara, mereka tidak akan boleh keluar walaupun kononnya menggunakan kuasa ghaib. Memang ilmu hitam itu satu fenomena terutama bagi orang Melayu tetapi kita jangan sesekali lupa bahawa Allah SWT itu maha berkuasa dan Pencipta,” katanya menafikan segala cakap-cakap mengenai Mona dan Affandi.

Disebabkan terlalu banyak khabar angin mengenai kehebatan pasangan bomoh ini yang dikatakan mempunyai ilmu hitam, Omar sendiri pernah menguji dan bertemu sendiri Affandi ketika menjalani hukuman di Penjara Pudu.

Ketika itu, tersebar kencang khabar angin mendakwa Affandi mempunyai kuasa luar biasa dan mampu membuka kunci pintu sel penjara serta beberapa lapisan pintu lain dengan hanya menggunakan tangan kosong. Bukan setakat menjadi perbualan masyarakat tetapi juga di kalangan kakitangan penjara sendiri yang seolah-olah terpengaruh.

22mona8.transformed 1
Gambar fail Affandi dikawal ketat anggota polis dibawa ke mahkamah ketika perbicaraan kes pembunuhan ADUN Batu Talam, Datuk Mohd Mazlan Idris. -Foto NSTP

Omar terus memanggil timbalannya serta beberapa pegawai kanan Penjara Pudu dan mengarahkan supaya Affandi menemuinya di sebuah bilik.

“Saya mahu buktikan sendiri, adakah khabar angin itu betul atau tidak. Apabila Affandi dibawa masuk, saya arahkan supaya pegawai pengiring membuka gari di tangannya. Saya mahu wujudkan suasana perbincangan yang tenang dan masing-masing saling mempercayai satu sama lain. Tetapi pegawai dan pengawal pengiring yang ada risau apabila saya memberi arahan itu.

“Apabila gari Affandi dibuka, saya minta mereka semua menunggu di luar bilik,” katanya yang mengakui pegawai bawahannya agak terkejut dengan arahan itu.

Secara logiknya, memang pengawal pengiring akan risau kerana penjenayah bunuh dan berstatus banduan akhir dibiarkan bebas tanpa gari, apabila lagi berdepan secara bersemuka dengan pengarah penjara. Walaupun masih berada di dalam bilik dan di kawasan kompleks penjara, segala kemungkinan boleh berlaku.

“Mereka menunggu di luar bilik. Sesekali mereka mengintai ke dalam bilik melalui cermin kecil,” kata Omar sambil tersenyum mengenangkan gelagat bekas anak buahnya apabila berdepan situasi itu.

“Saya minta Affandi supaya duduk di kerusi di depan saya. Saya tanya… Affandi sudah minum ke. Dia jawab, sudah (minum) tuan.

ezgif 2 aff01345c04a
Lubang tempat mayat ADUN Batu Talam, Datuk Mohd Mazlan Idris, ditemui tertanam dalam sebuah rumah di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, Raub Pahang. Foto NSTP

“Saya mempelawa untuk minum bersama. Kita minumlah sikit, ok tak. Dia jawab sepatah… ok tuan,” katanya yang mengakui terselit perasaan curiga dan bimbang suami Mona itu akan bertindak di luar jangkaan.

Namun, perbualan yang bermula dengan sesi minum itu ternyata berjaya mewujudkan suasana cukup tenang dan ikatan saling mempercayai antara mereka berdua.

Memulakan bicara, Omar meminta Affandi supaya menceritakan kebolehannya dan bagaimana dia boleh membuka beberapa lapisan kunci pintu dan sel penjara dengan senang seperti yang diuar-uarkan.

“Awak ceritakan sikit macam mana buka gari dan buka kunci. Betul ke awak boleh buka. Dia jawab… tak ada tuan. Memang saya ada buka pintu sel tetapi sel yang belum dikunci (oleh kakitangan penjara). Jadi saya buka macam biasa saja” jelas Affandi yang membuatkan Omar hampir tergelak besar.

Jawapan ikhlas Affandi itu sudah cukup membuatkan Omar mendapat jawapan merungkai persoalan yang menjadi bualan selama ini.

Baginya, itu sudah memadai. Ketika pegawai dan pengawal pengiring tertunggu-tunggu di luar bilik, Omar sekali lagi bertanyakan soalan sama kepada Affandi; “Jadi memang betul awak tak boleh buka gari dan kunci?.”

“Dia jawab… tidak tuan,” kata Omar yang cukup yakin Affandi bercakap jujur dengannya.

Bahkan, Affandi mengakui kakitangan penjara menjaganya dengan baik dan seolah-olah memberi jaminan bahawa banduan tidak akan membuat kacau jika mereka dijaga dengan baik oleh kakitangan penjara.

ezgif 2 680f304fa5c9
Gambar fail 22 Julai 1993, jenazah Datuk Mohd Mazlan Idris diusung keluar oleh sanak saudara dari Hospital Raub. -Foto NSTP

“Saya kata, kalau macam itu, tak apalah. Terima kasih. Tetapi jangan lupa kalau awak ada apa-apa maklumat, maklumkan kepada saya. Dia jawab terima kasih dan saya terus arahkan pegawai bawa dia keluar bilik,” katanya.

Berdasarkan pertemuan khas itu, Omar turut percaya Affandi sebenarnya tidak memiliki kemampuan luar biasa seperti yang digembar-gemburkan.

Beliau turut merumuskan perwatakan dan perlakuan Affandi sebenarnya banyak dipengaruhi latar belakang pendidikan di dalam keluarga, begitu juga dengan banduan lain yang kebanyakannya berpunca daripada pendidikan yang lemah.

ezgif 2 da2f7fa650ee
OMAR percaya Affandi sebenarnya tidak memiliki kemampuan luar biasa seperti yang digembar-gemburkan. – Foto Rohanis Shukri

Beliau memberikan contoh atau perbandingan paling mudah dalam kehidupan seharian iaitu sikap suka memandu melebihi had laju dan melulu.

“Kita tahu, memandu melebihi had laju itu memang berbahaya dan ada sebabnya kenapa batasan itu diadakan. Jika melebihi had itu, ia menjadi kesalahan, tetapi kita melanggar arahan kerana tidak berfikir panjang. Jika kita ada pendidikan dan boleh berfikir rasionalnya, tentunya kita tidak akan terikut-ikut dengan sikap segelintir pemandu degil. Kita akan ikut peraturan, asalkan selamat,” katanya.

Selepas sesi pertemuan singkat dengan Affandi, Omar memanggil Juraimi, juga untuk bertanyakan persoalan yang sama. Sepanjang pertemuan itu, Juraimi menceritakan sepenuhnya bagaimana dia memotong kepada 18 kerat badan mangsa.

“Bagi tujuan keselamatan kita tempatkan Juraimi berasingan dari Affandi, manakala Affandi kita letak di bilik yang dikawal secara maksimum. Sepanjang berada di penjara, Juraimi cuma makan dan tidur saja. Sebab itu berat badannya naik. Jadi, kami bagi latihan khas untuk dia. Setiap hari dia kena berjalan hujung lorong ke hujung sebagai senaman untuk kesihatan dirinya,” kata Omar.

ezgif 2 e6d0625523ab
PINTU masuk Penjara Pudu. – Foto NSTP

INFO: Penjara Pudu

  1. Penjara Pudu berbentuk X ini dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal, terletak di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur. Hampir sama dengan Penjara Kindy Bogambia.
  2. Mula dibina secara berperingkat pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar dan siap sepenuhnya pada 1895.
  3. Bangunan utama setinggi tiga tingkat mempunyai 240 bilik dan pada tahun 1894, 54 bilik baru ditambah di Blok C dan D (menempatkan bilik banduan akhir dan bilik gantung).
  4. Ditutup sepenuhnya pada 1 November 1996 dan dibuka kepada orang awam untuk lawatan pada 3 Mei 1997 (enam bulan selepas banduan terakhir dipindahkan).
  5. Sehingga Disember 2012 , 90 peratus struktur Penjara Pudu diruntuhkan kecuali pintu gerbang penjara dan tembok hadapan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan Bukit Bintang Triangle City.

Sumber: Berita Harian

Kang Razzi Armansur

Orang yang sudah biasa menulis. Dan bolehlah dikatakan sebagai kerjayanya. Sudah menghasilkan lebih 30 judul buku. Sebahagiannya 'best-seller'. Juga mengajar menulis walaupun merasakan tidak layak untuk mengajar cara-cara menulis. Ia telah dibukukan dengan judul, "Ini Buku Saya!"

SPONSOR