Tularan.com
featured

Episod 10 : Perincian Kes

Keratan bahagian-bahagian jasad bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Mohd Idros @ Mohd Mazlan Idris, ditemui dalam empat lapisan tanah selepas digali sedalam kira-kira 1.6 meter. Bahagian-bahagian itu ditemui dalam lubang seluas 1.2 kali 1.3 meter di sebuah rumah belum siap di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada 22 Julai 1993.

Perkara itu diberitahu oleh saksi kelapan, Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Abdul Rahman Yusof, ketika memberi keterangan perbicaraan pasangan bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman, Maznah Ismail atau Mona Fandey serta pembantu mereka Juraimi Husin di Mahkamah Tinggi pada 1993.

Dr Rahman berkata ketika ke tempat kejadian, lubang itu sudah digali sedalam 1.5 meter oleh pasukan polis hutan. Menurutnya, pada kedalaman kira-kira 1.6 meter, kelihatan bahagian belakang satu jasad manusia dalam lubang itu.

3 1

Katanya, di sebelah kanan hujung jasad itu pula, ada bahagian atas kepala manusia yang terpisah. “Jasad itu tidak mempunyai kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki,” katanya. Beliau berkata, jasad itu kemudian dikeluarkan dan proses menggali lubang diteruskan. Menurutnya, pada lapisan kedua, ada bahagian-bahagian paha dan ketulan daging.

Katanya, pada lapisan ketiga pula, mereka menjumpai tulang betis dan tulang paha serta tangan kiri. Dr Rahman berkata, pada lapisan keempat, mereka menjumpai bahagian tangan kanan yang terputus serta kedua-dua kaki kiri dan kanan yang terpotong di bahagian buku lali. “Saya kira ada 18 bahagian jasad yang dijumpai, termasuk bahagian kepala, dada, badan, bahagian-bahagian kaki dan tangan serta beberapa ketulan daging,” katanya.

Menurutnya, beliau telah menyusun jasad itu mengikut keadaan semula jadinya.

Katanya, semua bahagian itu bersesuaian, berdasarkan keadaan semula jadi dan bentuk tulang itu menyamai satu tubuh atau jasad manusia. Dr Rahman berkata, jasad itu kemudian dihantar ke Hospital Raub untuk dibedah siasat.

Menurutnya, jasad itu dicam sebagai (Datuk) Mazlan oleh balu Allahyarham, Datin Faridah Zainuddin, dan sepupu Mohd Mazlan, Zainal Abidin Ibrahim.

“Saya bersihkan jasad itu dan susun mengikut keadaan semula jadinya serta menutupnya dengan kain putih.

“Mula-mula saya buka bahagian kepala dan (Datin) Faridah berkata, ia mempunyai misai dan rambut yang dicam olehnya. Kemudian ditunjukkan pula bahagian jari tangan dan seterusnya bahagian kaki.” Pada ibu jari kaki kanan ada tanda hitam dan bentuk kaki mengikut kata (Datin) Faridah bersesuaian dengan jasad suaminya,” katanya.

Mayat Datuk Idros @ Mazlan Idris dicam oleh isterinya, Datin Faridah Zainuddin berdasarkan tanda-tanda pada badan Mazlan. Tanda-tanda itu adalah kaki yang penuh, jari kaki yang panjang, tanda hitam pada kuku ibu jari kaki kanan, gigi bahagian atas yang bertampal, misai nipis, dahi yang luas serta rambut yang ikal. Faridah memberitahu Mahkamah Tinggi Temerloh semua tanda-tanda membolehkannya cam mayat suaminya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya, Zakaria Sam, Faridah berkata sesi cam itu dijalankan di Hospital Daerah Raub pada awal pagi 22 Julai 1993 dengan disaksikan oleh Dr Abdul Rahman Yusof.

Episod 1 – Mukadimah
Episod 2 – Latar Belakang Mona Fandey
Episod 3 – Fakta Kes
Episod 4 – Perbicaraan Kes
Episod 5 – Peribadi Mona
Episod 6 – Kecantikan Mona
Episod 7 – Fakta Pembunuhan
Episod 8 – Barang Kes
Episod 9 – Bahagian Tubuh Mangsa
Episod 10 – Perincian Kes
Episod 11 – Sambungan Perbicaraan
Episod 12 – Keterangan Bedah Siasat
Episod 13 – Punca Kematian
Episod 14 – Keterangan Juraimi
Episod 15 – Sambungan Keterangan Juraimi
Episod 16 – Penyesalan Juraimi
Episod 17 – Madziana
Episod 18 – Bela Diri
Episod 19 – Tongkat Sakti dan Songkok Hikmat
Episod 20 – Akhirnya, Keputusan Juri
Episod 21 – Pukau
Episod 22 – RM2.5 Juta
Episod 23 – Kasih Gondrong
Episod 24 – Yang Arif
Episod 25 – Penggulungan Hujah
Episod 26 – Jujur
Episod 27 – Gila
Episod 28 – Keraguan Munasabah
Episod 29 – Kanun Keseksaan
Episod 30 – Tuan-tuan & Puan-puan…
Episod 31 – Sayang!?
Episod Finale – Senyum

Jane Balkis

Penulis Residen Tularan.com. Mula menulis sejak sekolah Menengah lagi. Semakin giat mempelajari teknik penulisan yang betul, setelah penulisannya kerap disiarkan di majalah sekolah, dulu. Berterusan belajar, "Bagaimana supaya pembaca membaca hingga ke perenggan terakhir."

SPONSOR