Tularan.com
featured

Episod 17: Mazdiana

NAMPAKNYA cerita aku ni tak boleh ditutup pada siri ke-20. Ada banyak lagi yang engkau orang nak tahu. Yahlah, tu baru cerita Mohd Juraimi Husin, tertuduh pertama kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris. Engkau orang nak tahu juga cerita Mohd Affandi Abdul Rahman dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey – tertuduh kedua dan ketiga. Mesti mereka ada cerita sendiri untuk membela diri. Aku tak boleh ceritakan panjang lebar. Hanya yang relevan – kata orang Melayu.

Paling penting cerita pada malam pembunuhan itu. Inilah keterangan Affandi. Katanya, sebanyak 21 lilin menerangi Datuk Mazlan Idris ketika dibunuh sewaktu upacara mandi bunga di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, pada 2 Julai 1993.

Lilin itu dipasang oleh Mona Fandey di bilik air, tempat bekas Adun Batu Talam itu mati ditetak dengan kapak oleh Juraimi.

Affandi berkata lilin itu dipasang sebelum dia memadamkan lampu di bilik itu.

“Pemasangan lilin itu adalah amalan biasa dalam upacara mandi bunga yang saya amalkan,” katanya di perbicaraan kes bunuh Mazlan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Kes ini berlarutan hingga awal 1995.

Menurutnya, dia nampak Juraimi dengan jelas menetak leher Mazlan dengan kapak sebanyak dua kali dalam sinaran cahaya lilin.

Bagaimanpun, katanya, dia dan Mona tidak dapat menahan Juraimi daripada menetak leher Mazlan kerana tergamam. Affandi berkata, dia hanya nampak kapak pada halkum Mazlan ketika itu dan tidak dapat berbuat apa-apa.

“Saya tiba-tiba mendengar bunyi `rupp’ dan kapak sudah berada pada halkum Datuk Mazlan.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu itu bunyi apa dan tidak pasti dari mana ia datang,” katanya ketika disoal balas peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal.

Menjawab soalan Karam, Affandi berkata, dia tidak dapat menahan Juraimi daripada menetak leher Mazlan pada kali kedua kerana tergamam.

Lagipun, katanya, dia melihat Juraimi dalam keadaan seperti orang hilang pedoman.

Tertuduh kedua juga mengaku tidak memeriksa sama ada Mazlan hidup atau mati selepas Juraimi menetak leher bekas Adun Batu Talam itu.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia, Mona dan anaknya, Mazdiana, meninggalkan rumah itu selepas diarahkan oleh Juraimi supaya berbuat demikian.

Bagaimana keadaan Mazlan ketika ditetak. Nak tahu kena tunggu lagi. Aku sambung ceritanya.

KARAM: Apa dia buat?

JURAIMI: Dia (sepupu Mazlan) ada cakap dengan saya dan bertanya adakah Datuk datang ke situ?

KARAM: Tahu siapa nama sepupu Datuk Mazlan itu?

JURAIMI: Namanya tidak tahu.

KARAM: Bagaimana Juraimi tahu dia sepupu Datuk Mazlan?

JURAIMI: Dia yang perkenalkan dirinya.

KARAM: Apa Juraimi cakap pada dia?

JURAIMI: Saya jawab: Biasanya Datuk datang seminggu sekali, tapi dah dua minggu dia tak datang.

KARAM: Dia datang sebelah pagi atau petang?

JURAIMI: Pagi.

KARAM: Sebelah petang apa jadi?

JURAIMI: Petang itu, selepas sepupu Datuk balik, saya terus ambil kapak dan parang dan tanam.

KARAM: Masa itu Affandi (Mohd Affandi Abdul Rahman) dan Mona (Maznah Ismail atau Mona Fandey) ada?

JURAIMI: Tiada, mereka ke Kuala Lumpur.

KARAM: Ada Affandi dan Mona balik ke rumah di Kampung Peruas?

JURAIMI: Ada pada 7 atau 8 hari bulan (Julai 1993).

KARAM: Adakah itu kali pertama mereka pulang ke rumah selepas kejadian itu?

JURAIMI: Ya.

KARAM: Mereka datang seorang atau ada orang lain?

JURAIMI: Seorang itu Tengku Yahya (Abdullah, abang tiri Mona), seorang Cina (pemandu limosin, Tan Teck Seng) dan anak mereka (Mazdiana Affendy). Mereka kemudian masuk dalam rumah.

KARAM: Apa berlaku dalam rumah?

JURAIMI: Affandi terus masuk dalam bilik dia. Mona kemudian panggil saya dan kenalkan dengan Tengku Yahya. Selepas itu, Mona panggil saya ke belakang dan bagi duit. Mula-mula dia beri RM1,000. Kemudian Mona tanya:

“Ada orang datang ke?” Saya jawab: “Ada sepupu Datuk Mazlan.” Selepas itu, Mona tanya: “Kau jawab apa?” Saya jawab: “Saya tak tahu dan kata mereka pergi KL.” Selepas itu Mona tanya: “Mana kapak, parang dan pistol.” Saya jawab: “Saya dah tanam.” Kemudian Affandi keluar dari bilik dia dan bertanya kepada saya: “Berapa ibu (Mona) kasi (beri) duit berapa?” Selepas itu Affandi berkata kepada Mona: “Yang (Sayang, panggilan mesra Mona) beri lagi RM500.” Selepas itu Mona kata: “RM500 untuk makan dan RM1,000 untuk beri makan itik.”

KARAM: Adakah mereka tinggal di rumah itu pada hari itu?

JURAIMI: Mereka terus balik pada tengah hari itu.

KARAM: Kesemua lima orang?

JURAIMI: Semua lima orang.

KARAM: Juraimi tinggal seorang?

JURAIMI: Betul. Sebelum pergi Affandi ada kata pada saya. Dia kata: “Bapak nak ke KL. Bapak nak uruskan hand phone. Seminggu lagi bapak balik.”

KARAM: Juraimi ada keluar rumah ketika tinggal seorang diri?

JURAIMI: Pada 12 hari bulan (12 Julai 1993), ketika saya keluar untuk beli makanan burung, saya bertemu sepupu Datuk Mazlan.

Dia tanya: “Affandi dah balik?” Saya jawab: “Belum.” Sepupu Datuk Mazlan kemudian berkata lagi: “Saya ada jumpa bomoh di Kuantan. Dia (bomoh) kata Datuk ada bersama Affandi.

“Saya hendak jumpa Affandi untuk tengok di mana Datuk berada.”

“Saya nak report (buat laporan) polis, nanti buat awak susah saja.”

Selepas itu saya jawab: “Nak report, reportlah, saya tak kisah.” Kemudian sepupu Datuk Mazlan kata: “Saya bagi tempoh, kalau Khamis atau Jumaat, Datuk tak balik, saya terpaksa report.”

Saya terus ke kedai itu. Selepas itu saya mengambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur pada hari itu juga.

KARAM: Ada Juraimi ke Kuala Lumpur?

JURAIMI: Ada, saya hendak cari Affandi di KL (Kuala Lumpur). Saya ke KL lebih kurang jam 3 petang pada 12 Julai 1993. Saya cari Affandi sampai jam 11 malam, tapi tak jumpa.

KARAM: Di mana cari Affandi?

JURAIMI: Di kawasan KL. Selepas 11 malam saya ke hotel…hotel apa. (berfikir) Tin Mine Hotel Hilton. Saya ke situ sebab kalau sebelah malam, Affandi biasanya ke situ. Pada 11 malam tak ada, saya ke Klang dan tidur di rumah kawan.

KARAM: Pada esoknya (13 Julai 1993), apa jadi?

JURAIMI: Pada esoknya, saya balik ke Raub direct (terus ke Raub).

Apabila saya balik ke rumah, saya tengok ada orang di rumah dalam satu kereta.

KARAM: Ada berapa orang dalam kereta itu?

JURAIMI: Tiga orang. Saya masuk saja, sepupu Datuk Mazlan pun bertanya: “Mana Datuk?” Saya jawab: “Tak tahu, saya baru balik cari Affandi di KL.”

Baru saya hendak releks, sepupu Datuk Mazlan cakap: “Ini adik dia (Mazlan) baru sampai dari KL.” Saya cakap: “Saya tak tahulah.” Kemudian, ada satu land rover polis datang, tiga anggota polis terus masuk dalam kawasan halaman rumah. Anggota polis itu bertanya: “Mana Datuk pergi?” Saya jawab:

“Saya tak tahu.” Anggota polis itu kemudian meminta IC (kad pengenalan) saya, dan saya pun beri IC.

Kemudian anggota polis itu berkata, tak apalah kita cerita dekat balai. Kami pun pergi ke Balai Polis Dong. Di balai, polis tanya lagi, mana Datuk? Saya cakap, tak tahu. Apabila sudah cerita, dia suruh balik kerana pegawai tak ada dan minta saya datang jam 7 malam. Saya balik lebih kurang 3.30 petang. Saya balik ke rumah dan beri makan itik dan pada masa itu sudah jam 7 malam lebih.

Saya kemudian mencari pondok telefon awam dan menelefon Balai Polis Dong memberitahu terlewat tapi anggota di situ memberitahu supaya saya datang juga.

Di Balai Polis Dong, ada seorang datuk Sarjan, namanya saya tak tahu.

(Karam kemudian memanggil Ketua Balai Polis Dong, Sarjan Masara Yuasap dan Juraimi mengecamnya). Dia (Masara) tanya mana Datuk, saya kata saya tak tahu. Kemudian dia menelefon Balai Polis Raub. Kemudian ada dua anggota polis datang dan bawa saya ke Balai Polis Raub. Dalam perjalanan ada seorang Sarjan berkata: “Tak apalah, kita buat kes dadah. “Saya tahu awak tak hisap dadah. Dari muka, saya tahu awak tak hisap dadah.” Di Balai Polis Raub, saya masuk lokap. Di lokap, air kencing saya pun tak ambil.

KARAM: Masa di lokap Balai Polis Raub, ada Juraimi disoal-siasat mengenai Datuk Mazlan?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Apa kamu jawab?

JURAIMI: Saya jawab: “Tak tahu. Saya main tak tahu aje.”

KARAM: Berapa lama ditahan di Balai Polis Raub?

JURAIMI: Dari 13 hingga 23 Julai 1993. Mengenai kes dadah.

KARAM: Ketika ditahan di Balai Polis Raub, ada jumpa Affandi.

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bila jumpa?

JURAIMI: Di Balai Polis Raub, pada malam 21 Julai menjelang 22 Julai 1993, ada jumpa Affandi.

KARAM: Ada disoal-siasat mengenai Datuk Mazlan?

JURAIMI: Dalam lokap, saya bangun tidur dan Din Mamak (Detektif Lans Koperal Nordin Sadakathullah) ambil saya berjumpa Tuan Mahpop (Penolong Penguasa Mahpop Jaafar).

KARAM: Ada dia soal-siasat kamu?

JURAIMI: Mahpop tanya: “Mana kamu tahan Datuk Mazlan?”

KARAM: Apa jawabnya?

JURAIMI: Mahpop kata: “Saya tahu, semuanya. Affandi pun dah kena tangkap, Mona pun dah kena tangkap. Affandi pun dah ada kereta, Mona dah pakai barang kemas. Mereka mahu menganiaya awak. Baik awak cerita.”

(Selepas memberi keterangan ini dan sementara menunggu soalan lanjut Karam, Juraimi memandang jam di dinding mahkamah berhampiran kandang saksi. Pada waktu itu jam menunjukkan pukul 10.43 pagi. Juraimi tersenyum memberi sesuatu isyarat kepada Karam.)

KARAM: Apa kamu jawab?

JURAIMI: Saya jawab tak tahu. Kemudian (bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah) Datuk Zaman Khan dan Takbir (Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd) masuk ke bilik.

Datuk Zaman Khan pun tanya: “Mana kau tahan Datuk Mazlan?” Saya jawab: “Saya pun tak tahu.” Takbir kemudian terus menampar saya dan keluar dari bilik itu. Lima minit kemudian Takbir masuk balik bersama Affandi. Apabila berjumpa, Affandi berdiri di belakang saya dan memegang bahu dan berkata: “Rong (Gondrong) ini bapak (Affandi). Kau ceritalah, bapak dah cerita segala-galanya.

“Ibu (Mona) pun, dah kena tangkap, adik pun dah kena tangkap. “Saya pun berdiam diri. Apabila Affandi keluar, baru saya teringat apa yang berlaku semuanya. Selepas itu, saya dan Affandi dibawa ke rumah di Ulu Dong pada malam itu juga (menjelang 22 Julai 1993).

(Ketika di rumah itu, polis ditunjukkan lubang, tempat jasad Mazlan serta pistol, kapak dan parang ditanam. Juraimi juga menunjukkan peluru yang dibuang dalam lubang tangki najis)

…kemudian..
…sambung lagi…

Episod 1 – Mukadimah
Episod 2 – Latar Belakang Mona Fandey
Episod 3 – Fakta Kes
Episod 4 – Perbicaraan Kes
Episod 5 – Peribadi Mona
Episod 6 – Kecantikan Mona
Episod 7 – Fakta Pembunuhan
Episod 8 – Barang Kes
Episod 9 – Bahagian Tubuh Mangsa
Episod 10 – Perincian Kes
Episod 11 – Sambungan Perbicaraan
Episod 12 – Keterangan Bedah Siasat
Episod 13 – Punca Kematian
Episod 14 – Keterangan Juraimi
Episod 15 – Sambungan Keterangan Juraimi
Episod 16 – Penyesalan Juraimi
Episod 17 – Madziana
Episod 18 – Bela Diri
Episod 19 – Tongkat Sakti dan Songkok Hikmat
Episod 20 – Akhirnya, Keputusan Juri
Episod 21 – Pukau
Episod 22 – RM2.5 Juta
Episod 23 – Kasih Gondrong
Episod 24 – Yang Arif
Episod 25 – Penggulungan Hujah
Episod 26 – Jujur
Episod 27 – Gila
Episod 28 – Keraguan Munasabah
Episod 29 – Kanun Keseksaan
Episod 30 – Tuan-tuan & Puan-puan…
Episod 31 – Sayang!?
Episod Finale – Senyum

Jane Balkis

Penulis Residen Tularan.com. Mula menulis sejak sekolah Menengah lagi. Semakin giat mempelajari teknik penulisan yang betul, setelah penulisannya kerap disiarkan di majalah sekolah, dulu. Berterusan belajar, "Bagaimana supaya pembaca membaca hingga ke perenggan terakhir."

SPONSOR