Tularan.com
featured

Episod 18: Bela Diri

CERITA pasal Mona Fandey sepatutnya ditamatkan riwayatnya pada episod ini – 20. Tapi, atas permintaan engkau orang aku sambung lagi. Macam sinetron dan telenovela pulak Kali ini aku sambung lagi keterangan membela diri Mohd Affandi Abdul Rahman, tertuduh kedua perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris.

Dalam keterangannya, Affandi memberitahu Mahkamah Tinggi Temerloh bahawa darah terpancut ke atas dan percikannya kemudian membuak-buak dengan banyak ke kiri dan kanan ketika leher Datuk Mazlan Idris ditetak dua kali oleh Juraimi Husin pada malam 2 Julai 1993.

Affandi yang duduk di bahagian atas kepala Mazlan sambil meratakan air ke muka bekas Adun Batu Talam itu. Katanya, pada masa itu kepala Mazlan terkulai dalam besen air bunga pada tetakan kali kedua dan darah keluar dengan banyak.

Menurutnya, pada ketika itu dia tergamam dan tidak dapat menahan Juraimi daripada melakukan pembunuhan di bilik air rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub itu.

“Juraimi menetak dengan pantas, sekali tetak, terlekat pada halkum dan tetak sekali lagi.

“Saya tidak nampak Juraimi datang dan hanya nampak kapak sudah berada di halkum Datuk Mazlan,” katanya ketika disoal balas peguambela Juraimi Husin, Ikmal Hisam Idris.

22mona8.transformed

Affandi berkata sebagai bomoh dan guru silat, dia tidak mampu menahan Juraimi daripada melakukan perkara itu kerana tergamam.

Lagipun, katanya, dia tidak nampak Juraimi datang ke bilik itu pada masa kejadian.

Tertuduh kedua juga berkata, dia nampak kapak yang digunakan Juraimi kena pada halkum Mazlan dan bukan tempat lain, walaupun gambar jasad Mazlan yang ditunjukkan kepadanya menunjukkan bekas tetakan di bawah dagu mangsa.

Affandi masih mahu menggunakan perkataan halkum dan tidak bersetuju dengan Ikmal bahawa bahagian yang putus itu adalah leher.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin kemudian terpaksa menerangkan makna halkum dan leher dengan menunjukkan lehernya sendiri untuk memastikan bahagian mana yang dimaksudkan oleh tertuduh kedua.

Bagaimanapun, Affandi tetap mengatakan halkum walaupun dua keping gambar yang ditunjukkan kepadanya menunjukkan tetakan itu di bawah dagu. Bagaimana keadaan Datuk Mazlan ketika mandi bunga. Affandi menerangkan badan melentang dengan tengkuk dialas dengan batu dan di bawah kepala pula diletakkan besen berisi air serta senjata seperti keris dan kapak kecil. Ini adalah antara peramalan mandi bunga bomoh Affandi dan cara itu juga dibuat ketika dia menjalankan upacara mandi bunga ke atas Datuk Mazlan.

Affandi berkata, mengikut amalannya dia tidak menjalankan upacara mandi bunga dengan orang yang akan dimandikan duduk di atas bangku atau lantai.

Katanya, dia tidak tahu cara orang lain mandi bunga, tetapi mengikut caranya orang yang hendak dimandikan perlu berkedudukan badan melentang dengan tengkok dialas dengan batu.

Affandi berkata demikian ketika menjawab soalan balas Ikmal Hisam.

Ikmal: Encik Affandi, bolehkah mandi bunga dilakukan secara duduk?

Affandi: Cara orang lain, saya tak tahu, cara saya macam itu.

Ikmal: Seseorang yang hendak mandi bunga, boleh duduk atas kerusi atau lantai dan dijirus ke atasnya.

Affandi: Itu bukan cara saya.

Mengikut Ikmal, cara yang diamalkan oleh Affandi dengan kedudukan Mazlan seperti itu pada malam itu bagi memudahkan leher Mazlan dipancung. Bagaimanapun, Affandi menafikannya dengan berkata dengan kedudukan begitu akan memudahkannya mandikan Mazlan.

Bomoh itu dalam keterangan sebelum ini juga berkata Juraimi mematuhi arahannya supaya mengangkat besen dan membuang air di dalamnya pada malam itu.

Katanya, Juraimi juga berkeadaan normal pada ketika itu. Affandi juga tetap dengan pendiriannya bahawa dia tidak nampak Juraimi datang menetak leher Mazlan pada malam itu ketika ditanya sekali lagi oleh Ikmal.

Episod 1 – Mukadimah
Episod 2 – Latar Belakang Mona Fandey
Episod 3 – Fakta Kes
Episod 4 – Perbicaraan Kes
Episod 5 – Peribadi Mona
Episod 6 – Kecantikan Mona
Episod 7 – Fakta Pembunuhan
Episod 8 – Barang Kes
Episod 9 – Bahagian Tubuh Mangsa
Episod 10 – Perincian Kes
Episod 11 – Sambungan Perbicaraan
Episod 12 – Keterangan Bedah Siasat
Episod 13 – Punca Kematian
Episod 14 – Keterangan Juraimi
Episod 15 – Sambungan Keterangan Juraimi
Episod 16 – Penyesalan Juraimi
Episod 17 – Madziana
Episod 18 – Bela Diri
Episod 19 – Tongkat Sakti dan Songkok Hikmat
Episod 20 – Akhirnya, Keputusan Juri
Episod 21 – Pukau
Episod 22 – RM2.5 Juta
Episod 23 – Kasih Gondrong
Episod 24 – Yang Arif
Episod 25 – Penggulungan Hujah
Episod 26 – Jujur
Episod 27 – Gila
Episod 28 – Keraguan Munasabah
Episod 29 – Kanun Keseksaan
Episod 30 – Tuan-tuan & Puan-puan…
Episod 31 – Sayang!?
Episod Finale – Senyum

Jane Balkis

Penulis Residen Tularan.com. Mula menulis sejak sekolah Menengah lagi. Semakin giat mempelajari teknik penulisan yang betul, setelah penulisannya kerap disiarkan di majalah sekolah, dulu. Berterusan belajar, "Bagaimana supaya pembaca membaca hingga ke perenggan terakhir."

SPONSOR