Tularan.com
featured

Episod 20: Akhirnya, Keputusan Juri

RAMAI yang ingin menetap wajah Datuk Mazlan Idris (gambar bawah). Puas mencarinya. Dalam internet tak jumpa. Nasib baik dalam keratan akhbar lama ada satu saja gambarnya. Itu pun hitam putih. Teringat album Hitam Putih Kehidupan yang di rip dan sudah di up kan dalam laman sezali.

Bahagian 10 1

Oklah aku sambung lagi cerita pasal tongkat dan songkok yang dikatakan mempunyai sakti. Pasti ada bertanya mengapa kedua-dua benda itu dikatakan begitu berharga. Tertuduh kedua kes pembunuhan Datuk Mazlan, Mohd Affandi Abdul Rahman memperolehi tongkat dan songkok yang dikatakan peninggalan Presiden Sukarno, Indonesia kerana rapat dengan ahli pondok dan kiai di Jawa Barat, Indonesia. Menurutnya, dia juga pemegang amanah Dana Aliran Wang Bantuan di tiga pesantren (pondok) di kawasan itu.

“Saya selalu membantu pesantren. Dari situlah saya mencari wang membantu pesantren seperti membina atau membesarkan musolah (masjid) serta untuk kegunaan pasentren. “Saya juga murid kiai di tiga-tiga pesantren,” katanya.

Affandi berkata, dia memberitahu demikian ketika Datuk Mazlan ke rumahnya di Tanjung Lumpur, Kuantan pada 1993 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan songkok dan tongkat itu.

Menurutnya, dia juga memberitahu Mazlan, harga songkok dan tongkat serta azimat itu ialah RM2.5 juta. Katanya, barang-barang itu pernah ditawarkan kepada seorang kerabat diraja Negeri Sembilan, Tengku Hishamuddin Tengku Laksaman Nasir tetapi tiada jawapan mengenainya.

“Saya juga memberitahu Datuk Mazlan, dia perlu membayar cengkeram RM500,000 jika mahu barang-barang itu,” katanya.

Affandi berkata, Mazlan hendak sangat barang-barang itu kerana telah lama mendengar mengenai keberkesanannya.

Katanya, Mazlan mempercayai akan keistimewaan azimat, tongkat dan songkok itu selepas mencubanya sendiri. itu cerita songkok dan tongkat berharga RM2.5 juta. Orang banyak duit aje yang mampu membeli benda itu.
Kalau tongkat dan songkok – kena beli kedua-duanya – beli satu, ilmu tak jadi – mahal, pasangan bomoh Affandi dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey ada jual azimat. Yang ini taklah sampai juta-juta ringgit tapi, hampir RM10,000 juga.

Dalam keteranganny, Affandi memberitahu mahkamah harganya RM7,000 saja. Itulah harga yang diletakkan oleh mereka kepada sesiapa yang ingin mendapatkan satu azimat. Harga itu juga dikenakan oleh mereka untuk memasukkan susuk emas kepada sesiapa yang menghendakinya. Affandi berkata, lebih 700 orang kebanyakannya orang politik `membeli’ azimat itu daripadanya ketika mereka tinggal di Teluk Gong, Klang pada 1991.

Menurutnya, azimat itu antara lain boleh menjadikan orang yang memilikinya kebal dan tidak lut dengan senjata tajam. Selain itu, tertuduh kedua mengenakan bayaran mengikut umur kepada mereka yang ingin belajar silat.

“Jika seseorang itu berusia 17 tahun bayarannya ialah RM17, begitulah jika berusia 30 tahun, bayarannya adalah RM30. “Saya mempunyai lebih 5,000 ahli silat sejak tinggal di Kampung Perajurit hingga Kampung Nelayan, Teluk
Gong,” katanya.

Affandi juga berkata, ketika di Teluk Gong dia membuka tiga gelanggang silat iaitu di Kampung Perajurit, Kampung Hamid Tuah dan Kampung Nelayan.

Menurutnya, tertuduh pertama, Juraimi Husin akan mengajar silat ketika ketiadaannya.

Affandi mengakui dia dan isteri seorang bomoh ketika tinggal di Teluk Gong.

Katanya, ketika tinggal di Kampung Nelayan, dia mengajar Juraimi membuat minyak burung serta mengenali bahan membuat ubat.

Affandi berkata, dia juga ada membeli rumah di Tanjung Lumpur, Kuantan, untuk menamatkan ilmu `kullhu’ yang dituntut oleh Juraimi.

Affandi memberitahu mahkamah dengan mengamalkan lmu `kullhu’, Juraimi menjadi kebal hingga boleh makan kaca, kalis asid, kalis senjata dan boleh menidurkan benda bernyawa. Datuk Mazlan dikatakan memiliki tongkat sakti dan songkok hikmat, tetapi mengapa boleh cedera dan mati dengan kapak?

Keputusan Perbicaraan:

TARIKH : 9 FEBRUARI 1995
TEMPAT : MAHKAMAH TINGGI TEMERLOH
TERTUDUH : JURAIMI HUSIN, MOHD AFFANDI ABDUL RAHMAN DAN MAZNAH ISMAIL ATAU MONA FANDEY.
HAKIM : DATUK MOKHTAR SIDIN

TEPAT jam 2.31 petang, tujuh juri membuat keputusan sebulat suara bahawa ketiga-tiga tertuduh perbicaraan kes bekas Adun Batu Talam bersalah menyebabkan kematian Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub Julai 1993.

Juraimi Husin (tertuduh pertama), Mohd Affandi Abdul Rahman (kedua) dan Maznah Ismail atau Mona Fandey (ketiga), dijatuhi hukuman mati mandatori.

Tiada tangisan, tapi senyuman diberikan oleh pasangan bomoh Maznah Ismail atau Mona Fandey dan Mohd Affandi Abdul Rahman ketika ketua juri memberi keputusan 7-0, bahawa mereka dan Juraimi Husin bersalah membunuh Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris. Juraimi pula terdiam sambil menahan sebak ketika ketua juri menyampaikan keputusan sebulat suara itu kepada Hakim Datuk Mokhtar Sidin.

Mona dan Affandi yang duduk bersebelahan di kandang tertuduh sempat berbual dan bergurau sebelum keputusan itu dibuat. Selepas keputusan dibuat, Mona masih mampu tersenyum dan menjelirkan lidahnya, sambil tergelak kecil memandang ke arah Affandi yang kelihatan tenang. “I am very happy (saya gembira),” katanya dalam kandang tertuduh ketika ditanya mengenai keputusan itu sejurus hakim membacakan hukuman terhadapnya.

Affandi pula berkata: “Ini keputusan mahkamah, bukan keputusan Tuhan.” Affandi sempat mengucup dahi Mona sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Hakim ketika membacakan hukuman itu berkata:

“Berikut adalah hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu satu hukuman mandatori. Saya tiada pilihan untuk menjatuhkan hukuman itu seperti berikut.

“Hukuman mahkamah terhadap kamu bertiga ialah kamu akan dibawa dari mahkamah ini ke penjara yang sah dan kamu akan dibawa ke suatu tempat di mana hukuman mati, iaitu gantung akan dijalankan.”

Affandi, Mona dan Juraimi didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam itu dan dijatuhkan hukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Ketiga-tiga mereka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu. Hakim berkata, mereka berhak merayu secara automatik ke Mahkamah Rayuan, walaupun Mona dan Affandi tidak membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh ketika itu.

Peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal yang membuat rayuan bagi pihak Juraimi selepas Mokhtar membuat keputusannya, berkata Juraimi yang berusia 23 tahun ketika melakukan pembunuhan itu tidak mendapat pendidikan tinggi, setakat darjah tiga.

Katanya, Juraimi anak kedua daripada enam beradik juga tidak mempunyai pekerjaan. “Dia juga seorang yang jujur dan taat kepada ibu bapa serta tidak pernah melakukan kesalahan jenayah sebelum ini. Saya merayu kepada mahkamah untuk menimbang nasibnya dalam kesalahan jenayah pertamanya,” katanya.

Juraimi pula berkata: “Terpulang kepada jasa baik mahkamah.” Peguambela Mona dan Affandi pula berkata, dia diarahkan oleh Mona danAffandi untuk membawa keputusan itu ke Mahkamah Rayuan. Affandi dan Mona berkata, mereka menerima keputusan mahkamah Pendakwa kes bunuh Datuk Mazlan Idris berjaya membuktikan Juraimi, Affandi dan Mona atau Mona Fandey mempunyai niat untuk membunuh bekas Adun Batu Talam itu.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin yang menggulung kes perbicaraan itu berkata, tiga unsur yang menunjukkan pasangan bomoh itu dan pembantu mereka mempunyai niat untuk membunuh Datuk Mazlan berjaya dikemukakan oleh pendakwa melalui keterangan saksi.

Katanya, pendakwa membuktikan bahawa unsur pertama iaitu Mazlan mati diantara jam 10 malam 2 Julai 1993 dan 12 tengah malam 8 Julai 1993 disebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong Raub. Unsur kedua kematian Mazlan adalah disebabkan perbuatan ketiga tertuduh atas niat bersama, sementara unsur ketiga adalah semua tertuduh dengan niat serta pengetahuan menyebabkan kematian Mazlan turut dibuktikan oleh pendakwa, katanya.

Menurutnya, ketiadaan sebarang luka tangkis pada mayat Mohd Mazlan seperti yang disahkan oleh Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Abdul Rahman Yusof turut membuktikan Mohd Mazlan dibunuh dengan niat. Sebaliknya, katanya, pembela gagal mengemukakan keterangan sokongan kepada fakta yang ditimbulkan dalam perbicaraan bagi mewujudkan keraguan munasabah.

Menurutnya, Affandi berkata tongkat sakti dan songkok ajaib berharga RM2.5 juta mempunyai hikmat tetapi gagal membuktikannya walaupun memanggil dua saksi untuk memberi keterangan sewaktu pembelaan. Mokhtar berkata, bukti juga tidak dikemukakan bagi menunjukkan bahawa pasangan bomoh itu memiliki RM900,000 seperti didakwa oleh pembela
serta hidup dalam suasana mewah.

Sebaliknya, katanya, Mona dan Affandi berbelanja besar lebih RM200,000selepas kematian Mohd Mazlan sedangkan pendakwa berjaya membuktikan Mazlan mengeluarkan RM250,000 pada siang 2 Julai 1993.
Sedangkan, katanya, baki dalam akaun simpanan Mona dan Affandi tidak banyak iaitu sekitar RM2,000. Katanya, kebanyakan not RM200,000 yang dibelanjakan oleh pasangan bomoh itu adalah not RM1,000 sama seperti not yang diterima oleh Mazlan dari bank.

ada lagi..sikit je lagi

Perkara itu diberitahu oleh peguambela, Mona dan Affandi, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan, ketika memeriksa balas saksi pendakwa ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar. Ghulam Mustaffa juga berkata, tongkat yang kononnya milik Presiden Sukarno itu dibawa dari Indonesia. Tongkat hitam yang panjangnya kira-kira satu meter dengan hulu dan pangkalnya disalut perak serta songkok hitam lipat itu kemudian dikemukakan di mahkamah dan diterima sebagai barang kes.

Mahpop dalam keterangannya berkata, tongkat dan songkok itu diambil oleh Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Ahmad di rumah berkenaan pada 22 Julai 1993. Menurutnya, dia juga pernah melihat kedua-dua barang itu ketika menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan pada 19 Julai 1993. “Saya mendengar cerita tongkat dan songkok itu telah dijual kepada Allahyarham Datuk Mazlan dan saya tidak tahu nilainya,” katanya. Ghulam Mustaffa ketika memeriksa balas Mahpop mengenai tongkat dan songkok itu antara lain bertanyakan soalan berikut:

Ghulam: Pada 19 Julai 1993, ketika memeriksa rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, adakah Encik Mahpop menjumpai satu tongkat. (Ghulam kemudian meminta izin Hakim Mokhtar Sidin untuk bertanya sesuatu kepada Affandi). Tongkat itu panjangnya kira-kira satu meter, kedua-dua hujungnya disalut perak.

Mahpop: Saya ada nampak.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, bahawa tongkat itu…
(Ghulam terhenti seketika untuk memikirkan perkataan sesuai untuk menunjukkan kepentingan tongkat itu. Pada ketika ini, hakim mencelah).

Hakim: Tongkat hikmat…

Ghulam: Satu tongkat sakti yang tidak dapat dimiliki dengan wang ringgit. Bilakah Takbir ambil tongkat itu?

Mahpop: Pada 22 Julai 1993.

Ghulam: Tongkat sakti… (belum sempat Ghulam meneruskan ayat itu hakim sekali lagi mencelah).

Hakim: Saya catatkan tongkat saja, saktinya sudah hilang.

Ghulam: Ada satu lagi barang berharga. Adakah Encik Mahpop nampak satu songkok?

Mahpop: Ada.

Ghulam: Apa warnanya.

Mahpop: Hitam.

Ghulam: Songkok itu berlipat?

Mahpop: Jenis lipat.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, itu adalah songkok hikmat dan songkok sakti seperti yang dikatakan oleh hakim?

Hakim: Saya tak kata.

Mahpop: Bagi saya, ia adalah songkok biasa. Sehingga hari ini, saya tidak tahu hikmatnya. Begitu juga dengan tongkat itu.

Ghulam: Tadi kata tahu.

Mahpop: Saya hanya dengar cerita.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, tongkat dan songkok itu tidak boleh dipisahkan. Mesti pakai bersama-sama.

Mahpop: Ya.

Ghulam: Adakah Encik Mahpop pegang dan belek tongkat itu?

Mahpop: Ada, tapi biasa saja. Tongkat sakti itu juga dikatakan mengandungi dua besi hikmat. Besi kuning dan aji dalam tongkat hitam sepanjang kira-kira
satu meter dengan hulu dan pangkalnya disalut perak itu juga dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri. Ghulam Mustaffa memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa kedua-dua besi hikmat itu yang disimpan di hulu tongkat itu sudah hilang.

“Tongkat ini sudah dibuka,” katanya sambil membuka dan menunjukkan hulu tongkat itu.

Peguambela itu memberitahu demikian ketika menyoal balas saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd.

Takbir juga menafikan kenyataan Ghulam bahawa dia telah berbuat sesuatu kepada tongkat itu, termasuk membuka hulu dan melihat isi kandungannya.

Bagaimanapun, pegawai polis itu mengaku ada membelek-belek songkok hikmat hitam yang ditemui di tempat yang sama, tetapi tidak nampak ayat-ayat ikal seperti yang dinyatakan oleh Ghulam Mustaffa.

Ditanya oleh Ghulam Mustaffa sama ada dia mengetahui keistimewaan tongkat dan songkok itu katanya: “Saya tidak nampak apa-apa keistimewaan pada tongkat dan songkok itu.”

Takbir juga berkata, dia diberitahu oleh Penolong Penguasa Mahpop Jaafar, bahawa tongkat itu milik Mazlan.

Pegawai polis itu mengambil tongkat dan songkok berkenaan pada 22 Julai 1993 selepas diberitahu mengenainya oleh tertuduh kedua.

Kedua-dua barang itu kemudian disimpan di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur sehingga diserahkan kepada Mahpop pada 11 Ogos 1993. Cerita ini tak habis lagi. dalam siri seterusnya akan dipaparkan
gambar Datuk Mazlan.

Episod 1 – Mukadimah
Episod 2 – Latar Belakang Mona Fandey
Episod 3 – Fakta Kes
Episod 4 – Perbicaraan Kes
Episod 5 – Peribadi Mona
Episod 6 – Kecantikan Mona
Episod 7 – Fakta Pembunuhan
Episod 8 – Barang Kes
Episod 9 – Bahagian Tubuh Mangsa
Episod 10 – Perincian Kes
Episod 11 – Sambungan Perbicaraan
Episod 12 – Keterangan Bedah Siasat
Episod 13 – Punca Kematian
Episod 14 – Keterangan Juraimi
Episod 15 – Sambungan Keterangan Juraimi
Episod 16 – Penyesalan Juraimi
Episod 17 – Madziana
Episod 18 – Bela Diri
Episod 19 – Tongkat Sakti dan Songkok Hikmat
Episod 20 – Akhirnya, Keputusan Juri
Episod 21 – Pukau
Episod 22 – RM2.5 Juta
Episod 23 – Kasih Gondrong
Episod 24 – Yang Arif
Episod 25 – Penggulungan Hujah
Episod 26 – Jujur
Episod 27 – Gila
Episod 28 – Keraguan Munasabah
Episod 29 – Kanun Keseksaan
Episod 30 – Tuan-tuan & Puan-puan…
Episod 31 – Sayang!?
Episod Finale – Senyum

Jane Balkis

Penulis Residen Tularan.com. Mula menulis sejak sekolah Menengah lagi. Semakin giat mempelajari teknik penulisan yang betul, setelah penulisannya kerap disiarkan di majalah sekolah, dulu. Berterusan belajar, "Bagaimana supaya pembaca membaca hingga ke perenggan terakhir."

SPONSOR