Tularan.com
featured

Episod 5: Peribadi Mona

CANTIK ke si Mona Fandey? Persoalan itu sukar untuk dijawab. Pada aku cantik atau tidak terpulang kepada mata orang yang memandangnya. Tapi apapun, Maznah Ismail atau Mona Fandey yang muncul kali pertama di khalayak ramai selepas lebih lapan bulan – pada 12 September 1994 – memang berbeza dengan penampilannya sebelum itu. Pada mata aku, dia pada masa itu kelihatan semakin cantik dan seksi.

1Mona tidak kelihatan seperti umurnya yang menjangkau hampir 40 tahun pada waktu itu. Ada yang kata Mona bukan 38 tahun, tetapi sebenarnya lebih 50 tahun. Tertuduh ketiga kes itu memang mendapat perhatian ramai ketika tiba di mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang – tempat perbicaraan kesnya.

Malah, ketika dia keluar mahkamah untuk menaiki trak, orang ramai yang berdiri di luar pagar mahkamah berteriak: “Mona makin lawa! Mona makin lawa!”

Mona hanya membalas dengan senyuman berikutan pujian orang ramai itu. Beberapa anggota polis, saksi dan wakil media massa juga berpendapat Mona semakin anggun dan berseri-seri. Mona pada hari itu mengikat rambutnya dengan riben biru muda, menampakkan lehernya yang jinjang.

Dia yang memakai blaus merah berbintik hitam tanpa lengan serta seluar ketat berwarna hitam tersenyum lebar melihat reaksi orang ramai menjerit-jeritkan namanya.

Dia yang memakai rantai manik berwarna ungu gelap dan gelang tangan merah berjalur hitam kelihatan sihat dan riang berbanding tertuduh kedua, Mohd Affendy Abdul Rahman, dan Juraimi Husin (tertuduh pertama).

Aku juga masih ingat pada hari kedua perbicaraan Affendy turut memuji-muji kecantikan isterinya. Aku tengok Mona cukup gembira dengan pujian suaminya. Pada aku Mona ada aura tersendiri. Kata orang dia pakai ‘pemanis’. Almaklumalah seorang bomoh. Tapi itu aku tak pasti. Itu kan cakap-cakap orang. Mana boleh pakai. Tapi yang pasti dalam keterangan di mahkamah dia mengaku membuat pembedahan plastik. Yang ini bukan cakap-cakap kosong, tetapi fakta dalam mahkamah.

Cerita pasal Mona bergaya pun menjadi perhatian ramai. Ada yang suka dan tidak kurang menyampah. Adatlah di dunia ini – tak semua orang suka pada apa yang kita buat walaupun tak ada kena mengena dengan mereka.

Dalam hal ini Mona berhak memakai pakaian yang disukainya pada perbicaraan. Bagaimanapun, Hakim Makhamah Tinggi, Datuk Mokhtar Sidin, yang mendengar perbicaraan itu boleh meminta Mona berpakaian lebih sopan, jika berpendapat pakaian tertuduh itu tidak sesuai dengan suasana mahkamah. Alasannya Mona hanyalah tertuduh kes itu dan dan belum dibuktikan bersalah. Mona mempunyai kebebasan untuk memakai pakaian yang disukainya di samping berhias.

Mona hanya tahanan polis yang dipercayai terbabit dengan kes bunuh dan bukannya banduan yang perlu memakai pakaian yang disediakan oleh pihak penjara. Selagi tiada teguran daripada Mokhtar, selagi itu Mona boleh memakai pakaian yang diminatinya.

Apapun pada aku si Mona ni pandai menjaga imejnya. Pakaiannya walaupun tidak begitu banyak dia pandai memadankannya. Tetapi kadang kala’over’ pula aku tengok. Ada ketikanya tidak kena tempat. Ada beberapa kali pakaiannya nampak seksi dan terpaksa ditutup dengan selendang dan jaket. Memang si Mona ni suka glamour kot.

Aku masih ingat apabila persoalan itu dikemukakan kepadanya sewaktu dia dibawa keluar dari lokap Balai Polis Temerloh ke Penjara Kajang selepas sehari didapati bersalah. Aku dapat bercakap dengannya – tak sampai seminit minit pun. Itu pun dah kira bagus kerana mengikut peraturan tidak boleh cakap pun dengan dia. Tapi berlaku secara spotan ketika aku mengikutinya dari belakang ketika dibawa ke trak.

Tak silap aku menegurnya wah glamourlah Mona. Tak sangka pula dia membalas dengan berkata : “Saya tak mahu glamour (melaram). Dari dulu pun saya tak glamour.”

Ditanya jika tidak mahu glamour mengapa pula berpakaian cantik, Mona berkata: “Yalah, takkan hendak telanjang pulak.” Menurutnya lagi, dia mahu tersenyum ketika dalam tahanan sementara menanti rayuannya dan hukuman selepas itu. “Saya mahu tersenyum kepada semua orang. Senyum bagi orang tengok,” katanya.

Tapi yang aku tahu ketika dibawa ke Penjara Kajang dia membawa lima beg plastik yang berisi pakaian dan aksesorinya. Ada lagi cerita pasal Mona cantik ni. Tunggu cerita Mona buat pembedahan plastik.

Episod 1 – Mukadimah
Episod 2 – Latar Belakang Mona Fandey
Episod 3 – Fakta Kes
Episod 4 – Perbicaraan Kes
Episod 5 – Peribadi Mona
Episod 6 – Kecantikan Mona
Episod 7 – Fakta Pembunuhan
Episod 8 – Barang Kes
Episod 9 – Bahagian Tubuh Mangsa
Episod 10 – Perincian Kes
Episod 11 – Sambungan Perbicaraan
Episod 12 – Keterangan Bedah Siasat
Episod 13 – Punca Kematian
Episod 14 – Keterangan Juraimi
Episod 15 – Sambungan Keterangan Juraimi
Episod 16 – Penyesalan Juraimi
Episod 17 – Madziana
Episod 18 – Bela Diri
Episod 19 – Tongkat Sakti dan Songkok Hikmat
Episod 20 – Akhirnya, Keputusan Juri
Episod 21 – Pukau
Episod 22 – RM2.5 Juta
Episod 23 – Kasih Gondrong
Episod 24 – Yang Arif
Episod 25 – Penggulungan Hujah
Episod 26 – Jujur
Episod 27 – Gila
Episod 28 – Keraguan Munasabah
Episod 29 – Kanun Keseksaan
Episod 30 – Tuan-tuan & Puan-puan…
Episod 31 – Sayang!?
Episod Finale – Senyum

Jane Balkis

Penulis Residen Tularan.com. Mula menulis sejak sekolah Menengah lagi. Semakin giat mempelajari teknik penulisan yang betul, setelah penulisannya kerap disiarkan di majalah sekolah, dulu. Berterusan belajar, "Bagaimana supaya pembaca membaca hingga ke perenggan terakhir."

SPONSOR