Satu lagi taman tema MAPS terpaksa tutup, menambahkan lagi bilangan taman tema yang akhirnya kurang sambutan, menanggung kerugian dan tutup.
Adakah taman tema ini bermusim? Atau sudah banyak taman tema, tidak mampu bersaing lagi antara satu sama lain. Atau tidak ada tarikan baharu. Konsepnya sama sahaja.
YANG PERTAMA PUN TUTUP
Taman tema berbayar yang pertama sekali di Malaysia, Mimaland, di Gombak dibuka pada tahun 1971 dan ditutup pada tahun 1994 kerana tanah runtuh yang merosakkan taman tema tersebut.
Pada awalnya, Mimaland memanglah mendapat sambutan yang menggemparkan kerana ia yang pertama. Lama-kelamaan semakin kurang sambutan dan seperti makin terbiar.
Pada 26 Jun 2017, satu lagi taman tema yang menelan belanja setengah bilion ringgit telah dibuka dengan rasminya. Taman tema ini dinamakan Movie Animation Park Studios (MAPS), didirikan di atas tanah seluas 21 hektar, di Ipoh.
Dalam taman tema ini disediakan 40 segmen atau tarikan berbeza dalam 6 tema animasi yang terkenal seperti Boboiboy, Upin & Ipin, Smurfs, karya animasi Dreamworks, dan sebagainya. Dikatakan taman tema animasi yang pertama seumpamanya di Asia.
Malang sekali taman tema yang sangat menarik ini terpaksa ditutup pada 28 Januari 2020 setelah dua setengah tahun beroperasi.
Pada mulanya mendapat sambutan yang di luar dugaan. Dikatakan, 700,000 hingga 800,000 mengunjungi taman tema ini, 6 bulan selepas dibuka.
Masalah kewangan dikatakan sebagai punca utama penutupan taman tema yang besar dan luas ini. Masalah lain pula timbul, Dreamworks menamatkan lesen mereka.
Ramai yang mengatakan punca utama tiket yang mahal pada permulaannya. Permulaannya tiket berharga, RM190 untuk dewasa dan RM150 untuk kanak-kanak. Namun ia bukanlah isu, kerana sesudah diturunkan harga menjadi RM60, RM50, dan akhirnya percuma, tetap kurang pengunjung.
Ramai juga yang mengatakan, kurangnya promosi taman tema MAPS ini membuatkan kewujudan taman tema ini tidak diketahui.