Tularan.com
tularan punb

Belanjawan 2020: Tambahan RM150 Juta untuk Bantu Bumiputera

PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) telah diperuntukkan tambahan dana sebanyak RM150 juta untuk membantu usahawan Bumiputera, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin.

“Menerusi Belanjawan 2020, PUNB diperuntukkan RM150 juta lagi, selain tambahan dana dalaman kami, oleh itu, kami akan meneruskan usaha membantu usahawan Bumiputera,” katanya semalam selepas menghadiri Simposium Runcit Kebangsaan (SParK) 2019 di ibu negara semalam.

Izwan Zainuddin fb punb 251019 1
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin menjangkakan dana tersedia ini dapat disalurkan sepenuhnya menjelang akhir tahun. (Gambar Facebook PUNB)

Dipetik Bernama, beliau berkata PUNB telah menyalurkan 75% daripada peruntukan sebanyak RM200 juta dalam Belanjawan 2019 selain dana dalamannya untuk membiayai kegiatan pembangunan perniagaan usahawan Bumiputera.

Izwan berkata usahawan sektor automotif serta makanan dan minuman merupakan dua kumpulan penerima terbesar daripada jumlah pembiayaan tersebut.

“Kami menjangkakan dana tersedia ini dapat disalurkan sepenuhnya menjelang akhir tahun,” kata beliau.

PRESTASI  USAHAWAN
Mengenai prestasi usahawan Bumiputera di bawah skim tersebut, Izwan berkata mereka mencatatkan kemajuan yang baik dan menunjukkan banyak peningkatan dengan memanfaatkan dana yang disalurkan.

Bagi masa akan datang, beliau berkata PUNB akan kekal menumpukan sektor runcit dan borong.

“Kami juga melaksanakan beberapa usaha untuk memperkasakan usahawan Bumiputera. Ia akan diumumkan kemudian,” katanya.

Beliau juga memutuskan supaya dana berkenaan tidak lagi dikategorikan agar ia lebih terbuka dan standard, dengan demikian dapat mempercepatkan proses pembiayaan dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pemohon.

Menurut beliau, langkah itu telah dilaksanakan sejak enam bulan lepas.

8 KATEGORI BISNES

Sebelum ini, dana tersebut dibahagikan kepada lapan kategori iaitu skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) Teras, Prosper Runcit, Prosper Trak Bergerak Runcit, Prosper Borong, Prosper Usahawan Muda, Pinjaman Bimbingan Usahawan Muda, Pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana serta Pinjaman Hartanah Premis Perniagaan.

Izwan berkata ia bertujuan mengurangkan tempoh proses kelulusan pembiayaan agar setara dengan institusi kewangan lain, yang merupakan elemen penting dalam keusahawanan.

Syarifah Atilia

Belajar menulis dengan membaca gaya tulisan penulis terkenal. Kini Penulis Residen Tularan.com. "Siapa kata menulis itu kerja mudah?"

SPONSOR