Tularan.com
41394270868 freesize

Tragedi Gempar Tanjung Kupang 1977

 

Sekitar 7.21 malam pada 4 Disember 1977, kapal terbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 737 MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura. Seramai 93 penumpang antaranya pelancong asing bersama tujuh krew penerbangan berada di dalam kapal terbang berkenaan.

Hampir setengah jam kemudian, kapal terbang berkenaan melalui Batu Arang dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) di Selangor.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba menara kawalan LTAB menerima makluman daripada juruterbang bahawa terdapat situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan itu, kira-kira jam 7.54 malam.

tularan mas terhempas tanjung kupang

Ketika pegawai petugas menara kawalan meminta penjelasan lanjut, juruterbang berkenaan segera membalas dengan menyampaikan satu makluman yang amat mengejutkan – kapal terbang berkenaan dirampas pihak tertentu!

Mendengar penerangan itu, segera menara kawalan menyediakan landasan untuk kapal terbang berkenaan mendarat.

kapal terbang berkenaan terbang semakin rendah untuk mencecah landasan tetapi belum pun sempat ia menjejakkan roda, tiba-tiba ia kembali terbang tinggi meninggalkan daratan.

Tularan Tragedi Buruk Pertama Malaysia Airlines Di Tanjung Kupang Johor

Tanda tanya terus tercetus tatkala melihat tindakan aneh juruterbang tetapi ketika itu jugalah menara kawalan kembali dimaklumkan juruterbang kapal terbang berkenaan bahawa mereka akan meneruskan penerbangan ke Singapura.

Menara Kawalan Paya Lebar di Singapura terus dimaklumkan mengenai situasi cemas dihadapi penerbangan MH653 itu dan kelulusan untuk mendarat segera diberikan pihak berkuasa negara terbabit.

Akan tetapi, tidak lama selepas itu, secara tiba-tiba kapal terbang berkenaan terus hilang daripada radar menara kawalan. Segala usaha untuk mengadakan hubungan radio bagi menghubungi kapal terbang berkenaan juga gagal.

Runsing, cemas dan tanda tanya terus bercampur baur pada pihak berkaitan tatkala memikirkan kehilangan misteri kapal terbang terbabit daripada radar selain situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan berkenaan.

SEMENTARA itu, malam yang tenang dan damai menyelubungi beberapa kampung di Tanjung Kupang yang terletak berhampiran Selat Tebrau kira-kira jam 8.30 malam.

Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah masing-masing sambil berehat dan menonton televisyen manakala sebilangan lagi melepaskan penat lelah berikutan terdapat kenduri kahwin yang diadakan pada siangnya.

Tidak lama kemudian, satu bunyian aneh yang berdesing seakan bunyi wisel yang kuat mula menggemparkan penduduk kampung. Ada antara mereka yang berlari ke luar rumah untuk memastikan bunyi aneh apakah yang mencemari keheningan malam itu.

Ketika itulah mereka semua tersentak kekejutan – di hadapan mata mereka, kelihatan kapal terbang gergasi terbang dalam keadaan ‘bergoyangan’ dan amat rendah sehingga kelihatan seolah-olah berada betul-betul di atas pohon kelapa saja.

tularan mas terhempas tanjung kupang 2

Kegemparan di jiwa penduduk masih belum hilang ketika kapal terbang berkenaan tiba-tiba terbang memutar dan hampir menegak. Satu letupan kuat kedengaran sebelum lampu kapal terbang itu terpadam dan kapal terbang itu terus terjunam ke satu lokasi berhampiran kampung berkenaan.

kapal terbang berkenaan terhempas di permukaan tanah dan menggegarkan kawasan sekitar sehingga ada penduduk menyangka yang gempa bumi berlaku di kampung itu. Gegaran itu diiringi satu letupan teramat kuat dan api mula marak menjulang sehingga berpuluh meter ke udara.

Serentak itu juga banyak barang dan serpihan kapal terbang melayang bertebaran ke merata arah malah sehingga ke lokasi yang jauh.

Tidak lama kemudian, satu laporan diterima pihak polis berhubung tragedi kapal terbang yang terhempas di kawasan hutan bakau di Tanjung Kupang.

Laporan itu membawa berpuluh jentera bomba, ambulans dan kenderaan menyelamat bersama lebih 100 pihak berkuasa termasuk polis, tentera, bomba dan petugas hospital ke lokasi nahas sekitar jam 10 malam bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Pengawasan helikopter dari udara mendapati hempasan kapal terbang menjangkau lokasi luas sehingga 2.5 kilometer persegi malah ada kawasan yang menjadi lapang seumpama ‘padang jarak padang terkukur’ apabila banyak pohon bakau di kawasan itu tercabut dan patah dilanda kapal terbang.

Gerakan mencari dan menyelamat segera dilakukan dan ketika itu jugalah pihak terbabit mula sedar bahawa kapal terbang berkenaan berkecai akibat terhempas dan tiada siapa yang terselamat daripada tragedi itu.

Kenyataan itu lebih menyeramkan tatkala pasukan penyelamat mendapati bukan saja tiada mangsa yang berjaya diselamatkan malah jasad semua mereka juga hancur berkecai malah ada yang hanya ditemui sekadar cebisan daging.

Pelbagai peralatan daripada kapal terbang termasuk buku, surat, gambar, pakaian dan barangan keperluan mangsa bertebaran ke merata arah di seluruh kawasan tragedi yang luas malah cebisan jasad mangsa dipercayai turut hilang akibat terjatuh di kawasan perairan.

Kawasan sekitar juga mula diselubungi bauan mayat serta minyak kapal terbang dan hari itu, satu tragedi kapal terbang terhempas yang paling tragik dan dahsyat dicatat dalam sejarah hitam negara.

jM6wf

SEKITAR jam 5.40 pagi selepas tragedi kapal terbang Boeing 737 MH653 terhempas, pihak MAS mula memaklumkan mengenai tragedi menyayat hati itu kepada ahli keluarga dan rakan penumpang yang menanti dengan penuh gelisah di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS).

Pengumuman itu disambut dengan perasaan pilu dan sayu apabila ahli keluarga dan rakan yang menanti itu diberitahu bahawa tiada mangsa yang ditemui selamat berdasarkan gerakan mencari yang dilakukan. Tanjung Kupang kemudian menjadi tumpuan media dan negara dikejutkan dengan tragedi antara paling tragik pernah direkodkan dalam sejarah negara.

Tragedi itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris (lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand (satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu).

Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ali Ahmad dan Setiausaha Politiknya, Hood Fadzil, adalah di antara penumpang yang dilaporkan terkorban.

Tragedi Buruk Pertama Malaysia Airlines Di Tanjung Kupang Johor 1

Gerakan mencari yang tergendala kerana kesukaran mencari pada gelap malam diteruskan semula ketika mentari pagi mula menerangi kawasan tragedi. Pelbagai penemuan sama ada barang keperluan dan komponen kapal terbang dipungut dan dikumpulkan pada suatu tempat. Jasad mangsa pula dikumpulkan di dalam beg plastik, ditanda sebelum dihantar ke rumah mayat.

Pihak berkuasa juga mengadakan pengawasan ketat di tempat kejadian malah kawat berduri dipasang bagi mengelakkan pihak yang tidak berkaitan memasuki lokasi nahas kerana dikhuatiri mengganggu kerja mencari dan menyiasat yang dijalankan. Seterusnya, mayat semua mangsa yang ditemui dimasukkan dalam tujuh keranda dan dikebumikan di satu tapak perkuburan besar di Jalan Kebun Teh berikutan sukar untuk mengenalpasti identiti setiap mangsa.

Ribuan ahli keluarga dan sahabat termasuk mereka yang berasal dari luar negara membanjiri tanah perkuburan berkenaan pada hari pengebumian jenazah semua mangsa diadakan. Tragedi itu juga memberi impak dan tamparan besar kepada operasi kapal terbang dan lapangan terbang berikutan ramai pihak beranggapan yang kemalangan itu berpunca daripada kurangnya kawalan keselamatan di lapangan terbang.

Satu kajian semula mengenai keselamatan di lapangan terbang dilakukan. Pengesan logam buat pertama kalinya dipasang di LTAS bagi mengelak kejadian sama berulang. Bagasi milik orang kenamaan pula tidak lagi boleh dikecualikan daripada pemeriksaan dan pengawal peribadi mereka juga dikehendaki menyerahkan senjata api masing-masing kepada juruterbang sebelum menaiki kapal terbang.

Menyoroti punca nahas itu, ramai pihak percaya yang juruterbang kapal terbang berkenaan dipaksa pihak perampas untuk terbang terus ke Singapura dan tidak mendarat di Subang untuk mengisi minyak. Perampas terbabit juga dipercayai turut menyeludup masuk bahan letupan di dalam kapal terbang menyebabkan tragedi itu menjangkau kawasan yang amat luas apabila terhempas.

Penemuan beg kecil bersama kelongsong peluru juga menimbulkan spekulasi bahawa kemungkinan berlakunya pergelutan antara pihak perampas dengan pengawal peribadi Datuk Seri Ali sejurus sebelum kapal terbang itu terhempas. Analisis terhadap kotak hitam kapal terbang juga tidak banyak membantu untuk mengenalpasti siapakah perampas terbabit, motif mereka serta rentetan kemalangan berkenaan.

Beberapa pihak pengganas dipercayai menjadi dalang rampasan berkenaan antaranya kumpulan dikenali ‘Tentera Merah Jepun’ selain ‘Ananda Marga’ dan ‘West German Baader-Meinhof’. Bagaimanapun, sehingga kini, tiada bukti kukuh mengenai kejadian sebenar yang berlaku ketika penerbangan berkenaan sekali gus meninggalkan punca tragedi itu kekal sebagai misteri sehingga kini.

tularan mas terhempas tanjung kupang 3

Kronologi tragedi 4 Disember 1977:

7.21 pm : Kapal terbang Boeing 737-2H6, MH 653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

7.46 pm : Kapal terbang MH653 berada di ruang angkasa batu arang setinggi 4000 kaki.

7.47 pm : Juruterbang melaporkan kepada pusat pengawalan penerbangan udara ‘653 going around’ dan pusat menjawab ‘653 is cleared to land, surface wind calm’ Juruterbang kemudian melaporkan sekali lagi kepada pusat kawalan dengan berkata ‘overshooting’. Sebuah kapal terbang yang menunda MH 653 bertanya, ‘What’s your problem’ dan dijawab ‘We have an emergency on board‘.

7.50 pm : Kapal terbang MH 654 memberitahu ‘Maintaining 3000 coming over KL (beacon) in two minutes, hijacker on board’ pusat menjawab, ‘Cleared to land on runaway 33 with no delay’ tetapi dijawab kembali, ‘We are now proceeding to Singapore’ dan ‘Understand message receive’. Pusat menjawab ‘Message received, understood’.

8.05 pm : Pusat kawalan mengarahkan kapal terbang MH 653 menghubungi kawalan trafik udara Singapura dengan frekuensi radio Singapura, pusat kawalan trafik udara di Kuala Lumpur membenarkan kapal terbang tersebut terbang setinggi 21,000 kaki.

8.12 pm : Pusat kawalan udara Singapura membenarkan MH 653 turun ke paras 7,000 kaki kemudian perhubungan pusat kawalan Singapura terputus hubungan dengan kapal terbang MH653

8.30 pm : Mengikut laporan polis kapal terbang tersebut berada di ruang udara Tanjung Kupang. Seorang mata-mata dan orang ramai yang berada di kawasan tersebut melaporkan kapal terbang itu kelihatan terbakar lalu menjunam tetapi naik semula, dan di saat itu kapal terbang itu meletup dan selepas ia meletup di udara kapal terbang itu terhempas ke tanah dan meletup sekali lagi.

Tarikh : 4 Disember 1977
Jenis : Perampasan
Lokasi : Tanjung Kupang, Johor, Malaysia
Penumpang : 93
Anak kapal : 7
Kematian : 100 (semua)
Terselamat : 0
Jenis kapal terbang: Boeing 737-2H6
Pengendali : Malaysia Airlines
Asal penerbangan : Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
Destinasi : Lapangan Terbang Singapura (Paya Lebar)

Antara Teori Punca Nahas: 

  1. Kapal terbang MH653 telah dirampas oleh ahli Tentera Merah Jepun. Walau bagaimanapun, teori ini telah dinafikan oleh Tan Sri Ghazali Shafie yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu.
  2. Kapal terbang MH653 dirampas oleh kumpulan militan Vietnam. Teori ini dibuat berdasarkan penahanan 3 ahli militan Vietnam oleh Singapura berikutan rampasan kapal terbang DC3 Air Vietnam sebelum insiden rampasan MH653. Teori ini mencadangkan bahawa kumpulan militan ini mungkin merampas MH653 untuk membebaskan 3 ahli yang ditahan.
  3. Kapal terbang MH653 dirampas oleh penentang kerajaan Cuba, namun ia tidak mempunyai sebarang sokongan.

Siasatan Kotak Hitam

Satu laporan rasmi yang mengandungi hasil siasatan terhadap kotak hitam MH653 telah didedahkan, 9 bulan selepas nahas gempar itu.

Menurut laporan, juruterbang dan salah seorang daripada krew kapal terbang telah ditembak mati lebih awal oleh perampas sebelum kapal terbang meletup.

Terdapat rakaman suara yang kedengaran 3 das tembakan dan rayuan oleh Kapten G.K Ganjoor sebelum ditembak, yang berbunyi, “No, please, dont,”.

Juga kedengaran suara yang menyebut, “You bluff us,” oleh suara yang tak dikenali sebelum bunyi tembakan kedengaran. Antara suara lain yang kedengaran adalah perbualan bahasa asing.

Kapal terbang tersebut mula menjunam sebaik sahaja tembakan tersebut berlaku. Laporan rasmi tersebut juga memberitahu bahawa tiada letupan yang berlaku ketika kapal terbang berada di udara.

Sumber: Internet

Syarifah Atilia

Belajar menulis dengan membaca gaya tulisan penulis terkenal. Kini Penulis Residen Tularan.com. "Siapa kata menulis itu kerja mudah?"

SPONSOR